Thursday, April 15, 2010

Hukuman Berat Membendung Gejala Buang Bayi



Kejam? Tidak berperikemanusiaan? Zalim? Tidak bertanggungjawab? Apakah perasaan anda bila melihat, mendengar, atau membaca kes-kes pembuangan bayi yang makin menjadi-jadi sekarang? Marah? Sedih? Atau hanya sekadar duduk dan menggeleng kepala tanpa ada apa-apa usaha untuk membetulkan keadaan? Dewasa ini kita sering dikejutkan dengan gejala-gejala pembuangan bayi yang disifatkan sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Gejala buang bayi in adalah berpunca daripada si pelaku yang tidak menginginkan bayi tersebut akibat daripada keterlanjuran mereka dalam melakukan hubungan luar nikah dan kehadiran bayi tersebut hanya akan mengundang kejian dan tohmahan daripada masyarakat yang membuatkan si pelaku merasa tertekan dan mengambil jalan singkat dengan membuang bayi mereka tanpa perasaan simpati. Bayangkan, tubuh kecil si comel yang masih belum mengerti apa-apa dan mendambakan kasih sayang sepenuhnya daripada ibu dan bapa, terkulai layu tanpa nafas, dijumpai dalam tong sampah, dalam mangkuk tandas, dalam longkang, dalam semak, dalam tempat pembuangan najis, dicampak tanpa simpati, apa perasaan anda?




Sesekali saya tertanya-tanya apakah pelaku tidak mempunyai sebarang perasaan semasa membuang bayi mereka. Tidakkah mereka merasa berdosa melakukan perbuatan sedemikian? Di dalam rang Undang-undang Jenayah Malaysia menyatakan di mana sesiapa yang membuang bayi akan dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun. Namun adakah tempoh masa selama 20 tahun itu sudah cukup untuk menginsafkan pelaku dan juga orang ramai? Daripada sudut pemikiran saya sendiri saya rasa tempoh masa ini masih belum mencukupi kerana masih ada lagi kes-kes yang sama dilaporkan berulang lagi hari ini. Ini jelas membuktikan bahawa si pelaku masih tidak takut akan undang-undang dan terus melakukan jenayah terkutuk ini.

Pihak berkuasa haruslah mengkaji semula hukuman yang diperuntukkan kepada mereka yang membuang bayi ini. Sebagai contoh, hukuman berat seperti gantung dan sebat haruslah dilaksanakan sebagai usaha untuk membendung gejala ini daripada terus berleluasa dan terus menjadi duri dalam daging kepada semua pihak termasuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara. Apabila terlaksananya hukuman gantung kepada mereka yang membuang bayi, pasti ramai yang takut dan akan berfikir dua kali untuk melakukan jenayah ini. Apabila kedua-dua pelaku (wanita dan lelaki) dijatuhi hukuman gantung sampai mati, ini pastinya akan menimbulkan perasaan lebih waspada dan bertanggungjawab di hati orang ramai. Ini sekaligus dapat mengurangkan gejala sosial yang berlaku dan dalam masa yang sama dapat mengelak pelaku melakukan hubungan tanpa nikah terlebih dahulu. Apabila gejala sosial tidak berlaku, maka kes-kes pembuangan bayi luar nikah juga tidak akan berlaku.



Seterusnya, dengan pelaksanaan hukuman sebat kepada pelaku akan menyebabkan orang ramai khususnya mereka yang suka melakukan hubungan tanpa nikah terlebih dahulu menjadi takut dan pastinya mereka tidak akan melakukan jenayah pembuangan bayi ini. Melalui hukuman sebat, pesalah akan dijatuhkan dengan bilangan sebat yang sepatutnya kerana membuang bayi dan ini akan menyebabkan sebilangan daripada urat-urat mereka akan putus dan akhirnya membuatkan badan mereka menjadi lemah dan kurang bermaya. Orang ramai yang takut untuk mengulangi kesalahan serupa pasti akan menghindari daripada melakukan jenayah ini dan dalam masa yang sama jenayah pembuangan bayi ini dapat dikekang daripada terus berlaku dan menjadi imej yang buruk kepada rakyat Malaysia.

Gejala pembuangan bayi sudah menjadi semakin serius di Negara ini. Di manakah letaknya tanggungjawab kita sebagai umat manusia? mengapakah masih ada segelintir manusia yang begitu rakus dengan nafsu dunia sehingga saanggup bertindak sebegitu rupa. Hukuman yang berat dan menyakitkan mungkin bakal menjadi guru kepada tindakan mereka, seterusnya membendung gejala membuang bayi di Malaysia.

No comments:

Post a Comment